Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Antarabangsa Brunei
SALAMBIGAR, Isnin, 29 Jun. - Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) meraikan Murid-murid Tahun 6 Sesi 2026 dalam satu majlis khas yang berlangsung baru-baru ini, bagi menandakan tamatnya persekolahan mereka di peringkat rendah serta permulaan perjalanan ke pendidikan menengah.
Majlis tersebut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.
Juga berangkat paduka anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dijunjung oleh Pengetua Eksekutif ISB, Dominic Morley.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman merupakan antara murid Tahun 6 Sesi 2026.
Seramai 87 orang murid Tahun 6 dari kampus ISB Bandar dan Seria diraikan pada majlis tersebut, sekali gus mengimbas kembali perjalanan pembelajaran mereka di peringkat rendah sebelum melangkah ke Tahun 7 di peringkat menengah ISB.
Majlis yang berlangsung di kampus ISB Bandar itu dimulakan di Teater ISB, di mana murid-murid Tahun 6 dari kedua-dua kampus menerima sijil tamat persekolahan masing-masing. Para murid kemudiannya mempersembahkan nyanyian dan tarian berkumpulan bertajuk 'Take On the World'.
Majlis diteruskan dengan perarakan meraikan para murid dari teater menuju ke Piano Steps, ruang perhimpunan utama di kampus berkenaan, di mana mereka disambut serta diraikan oleh murid-murid Pra-Tadika, Tadika, Reception, dan Tahun 1 hingga Tahun 5.
Ketua Sekolah Rendah ISB, Michael Everett semasa berucap berkata, sekolah rendah berperanan menghapuskan segala halangan yang boleh menjejaskan kejayaan masa depan murid, di samping memastikan setiap murid berpeluang menemukan minat masing-masing, menikmati proses pembelajaran serta menguasai kemahiran asas dengan kukuh.
Beliau berkata, apabila melangkah ke peringkat sekolah menengah, para murid akan mula mengenali potensi diri, mengembangkan bidang yang diminati serta membuat persediaan ke arah alam pekerjaan dan kerjaya pada masa hadapan.
Menurutnya lagi, generasi kanak-kanak hari ini merupakan pencetus perubahan yang bakal menentukan hala tuju dunia pada masa akan datang, dan keputusan yang mereka buat dalam tempoh sedekad akan datang akan memberi impak besar kepada masyarakat sejagat.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Kampus ISB Seria, Tracey Woodcock, guru-guru Tahun 6 dari kampus ISB Bandar dan Seria, serta ibu bapa dan penjaga para murid.